Friday, December 28, 2012

Janji, Jujur, Sepi...

Dulu,
tak lama dahulu
pernah aku berlagu
mengukir janji dalam sendu
antara kau dan aku
sesuatu.
Sesuatu yang sempurnakan aku,
mungkin tidak pada masa itu.
Persahabatan yang kita laungkan dulu
membuat aku kurang fasih tika membisu
menjadikan aku kaku tika tariku
menjelaskan setia dalam selingkuhku.
Janji kita yang aku jadikan lagu
mengiring segenap sendu
yang bermain pada tiap malamku
hingga aku dan lena bertemu.
Persahabatan yang menjadikan kita satu
setia dan amanah bertemu
jujur dan ikhlas bertamu.
Kerana kau sahabatku,
aku memegang tali janji untukmu.

Tika itu
jujur yang aku pertaruhkan dalam hidupku
kerana kau sahabatku,
aku biarkan hari-hari ku kosong membelenggu
semata demi menemani sunyimu
yang asyik dibuai rindu
pada dia yang tidak merinduimu.
Kerana persahabatan itu,
aku terus ada di situ
untuk kamu
menjadi sahabat mu
teman ku
mendengar mu
mengukir senyum dibibir mu
menyapu air mata dipipi mu
memberi masa untuk di sisi mu.
Tika itu
aku sering katakan pada mu
berhentilah dari menunggu
carilah pengganti yang baru.
Ya sahabatku
kau melangkah dengan azam baru
meninggalkan aku
demi meencari teman hidup mu.
Aku kembali mengisi hari-hari kosongku
dengan mencari sahabat baru
bagi menemani saat sendu.

Kini di situ
aku masih lagi berdiri kaku
melihat kau bersama teman baru
yang aku suruh kau cari dulu
bagi menggantikan dia yang meninggalkan mu.

Aku?
Tetap juga aku.
Memegang tali janji tanpa jemu.
Sakit ku?
Permainan yang menarik dalam hidup ku.
Menjadikan aku dewasa dengan cara ku.
Sepi itu?
Sebuah perjalanan yang tiada penghujung bagi ku.
Sebuah buku
yang punya pelbagai bab yang masih belum ku temu.

Dari janji dulu,
aku tebarkan kejujuran itu,
walau sepi menemaniku...



Salam Seni...

Friday, December 21, 2012

Menjauhi bukan membenci, menyayangi bukan mencintai...

Dah hampir subuh, namun mata masih segar terbuka. terpaksa menahan mata dari terpejam kerana pagi nanti hamba akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman,
Ya, tindakan yang sama seperti dulu. pulang demi menagih ketenangan walau untuk seketika.
tapi bukan itu sahaja sebabnya, juga demi menghadiri hari bersejarah bapa saudara ku yg bongsu...Selamat Pengantin Baru Pok...
Sementara menunggu Subuh menyapa, terlayan satu filem yg disebut-sebut sebelum ni. Istanbul Aku Datang...
Tiba-tiba terasa diri seperti berada di tempat Beto Khusyairi...hahaha...ending yang agak aku tak suka...lelaki yang menang adalah sebenarnya lelaki yg kalah. kalah dalam mempertahankan ego...
Seperti ketenangan yg ingin hamba tagih di bumi Che Siti Wan Kembang esok.
untuk kesekian kalinya, langkah ini hamba pilih. untuk membenarkan hati bersendiri dari mereka yg sering menyakiti...
Kata Beto dalam filem tu, dua dunia yg dah sebati, tak semudah tu untuk dileraikan...
Hamba pula kata, dalam perhubungan ni, jodoh yg akan menentukan segalanya.
kenapa?
sebab, kadang-kadang orang yg telah lama kita kenal, belum tentu milik kita dan orang yg kita baru kenal, tak mustahil jodoh kita...
hari ni, hamba tinggalkan dulu segala yg ada di Puncak Perdana ni..tinggalkan dia, dia dan dia...
ya, jalan penuh risiko ini yg hamba pilih...setelah penat...
hamba matikan laman sosial, hamba diamkan diri dari berbicara...
orang kata, kalau nak tahu kita berharga ke tak dalam hidup seseorang tu, cuba jauhkan diri dari dia...kalau dia cari kita, kita ada dalam hati dia...tapi,kalau dia juga berdiam, lebih baik kita terus menjauh...
hamba tahu, hamba pasti perlu terus menjauh...walaupun dia akan mendekati. maaf, saya bukan orang yg awak cari..
Selamat Tinggal Puncak...utk seketika, mungkin...

 
 
Salam Seni...

Thursday, December 20, 2012

Parut lama belum sembuh...

Teringat hamba tentang satu janji,
sama seperti menulis di sini,
sekejap ada, sekejap lagi pula hilang.
bukan untuk tidak berbicara,
tetapi cuba menyimpulkan rasa...

Dalam hidup ini, kita pasti seringkali mencuba dan berusaha bukan?dan di setiap kali itu jugalah kita pasti merasa gembira atau kecewa, gagal atau berjaya.
dalam hidup kita ini juga, pasti kita bertemu teman...yang akan hadir, teman saat gembira ataupun teman saat berduka.
mungkin entri ni tiada kaitan dengan tajuk. tapi ia tentang sebuah parut.

parut yang pernah terukir di suatu masa dahulu, yang belum tiba saat sembuhnya.
teringat akan kata guru hamba, "parut lama belum sembuh, jangan sampai luka kembali"
ya, tentang satu janji.
janji yang hamba gagal untuk laksanakannya satu ketika dahulu.
hamba gagal. dan kegagalan itu juga umpama hamba melanggar amanah yang dipikul...

di saat ini, hamba cuba bangkit kembali.
bersisakan bagi semangat yang ada.
untuk meneruskan satu amanah bangsa...
hamba sering sendirian, malah sudah terbiasa.
namun, hati mana yang mampu menahan kesunyian
tambah-tambah lagi di ketika kudrat tak lagi mampu menggalas segala beban.
semoga kehadiran teman yang baru, mampu menghentikan hamba dari lamunan panjang ini...

sepanjang hari,sepanjang malam,
terdiam di satu sudut,
terfikir tentang satu penyesalan,
satu penyesalan yang tidak membuktikan kegagalan...
bercakap sendirian sepanjang malam,berteman muzik suram...tentang pengalaman, tentang kegagalan, tentang kekecewaan, tentang persahabatan...ya, mereka juga pelajar, yang berdua itu masih muda,yang bercula itu pula telah dewasa, aku di tengah-tengah telah,masih dan terus berusaha...mencuba sehingga berjaya, atau terbunuh di sana...

kawan, hamba perlukan semangat dan usaha kalian,
cikgu, saya menagih ilmu dan restumu,
Tuhan, aku memohon doa dan petunjukMu...




Salam Seni...

Wednesday, August 01, 2012

Pahlawan Pejuang Wira Kebanggaan...


Melekat didepan tv secara tidak sengaja pada pagi tadi... khusyuk menonton istiadat hari pahlawan di Dataran Merdeka... melihat perbarisan yg penuh segak, persembahan yang begitu memukau...terdetik dihati kecil untuk turut bersama dgn kalian dalam barisan pahlawan negara... deklamasi puisi dari dua orang tentera yang begitu menyentuh hati...VIP yang hadir umpama hilang dari realiti, terbayabgkan jasa-jasa besar pejuang negara... Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara, Rejimen Askar Melayu DiRaja, Polis DiRaja Malaysia, berisan pejuang yang tidak pernah kenal erti putus asa.kalian pejuang sebenar,juga pahlawan yang benar...walau didatangi cubaan dan dugaan, mereka tetap teguh berdiri atas nama pahlawan...


Pejuang di Pinggiran

Tanpa pentas untuk berdiri,
tanpa permaidani untuk melangkah,
tanpa pingat untuk dibanggakan,
kau tetap berdiri gagah.

Dengan semangat yang masih berbaki,
dengan amanah yang harus kau pikul,
dengan sumpah yang telah dilafazkan,
kau terus berdiri setia.

Walau jasad diheret berdarah,
walau jiwa dirobek parah,
walau hati dicaci bernanah,
kau masih berdiri di sana.

Kau masih berdiri dengan iltizam
kau terus berdiri demi sebuah perjuangan,
kau tetap berdiri kerana perjuangan belum selesai..

Kau setia kepada apa yang kau laungkan,
kau tidak pedulikan kata mereka yang menghina,
kerana kau pejuang di pinggiran,
tidak dipeduli orang,
tidak pula jiwanya tenang,
tidak pernah bergerak ke belakang,
tidak pernah lari dari perjuangan...





Salam Seni...


.


Thursday, July 26, 2012

Dunia Ramadhan

Kali ini kau masih datang,
sebagai suatu kewajipan,
kepada seluruh alam,
demi sebuah keimanan,
hati insan milik Tuhan.

Kau masih datang lagi,
dengan tugasan yang yang diamanahkan,
untuk mendekati seluruh umat,
menyuluh jalan yang gelap,
meluaskan jalan yang sempit.

Kau terus datang,
mengusung jutaan keberkatan,
untuk diberikan kepada sekalian umat,
yang mencari redha sang pencipta,
demi memiliki kunci ke syurga...

Tapi mereka,
menyambutmu ya Ramadhan,
dengan kisah dunia,
dengan isi manusia,
dengan segala alpa,
dengan iman biasa,
dengan mengejar nikmat dunia.

Mereka kian lalai,
dengan rahmatmu ya Ramadhan,
jasad tetap bernafsu,
walau syaitan telah dibelenggu,
ibadat tetap lupa,
walau pintu syurga seluasnya dibuka,
semoga kita bukan bersama mereka,
yang mengejar dunia,
kerana kita khalifah,
mencari bekal akhirat dalam Ramadhan,
bukan nikmat dunia dalam Ramadhan...



Salam Seni...


.

Friday, July 20, 2012

Salam Ramadhan...

Alhamdulillah, sempat lagi hamba bertemu dengan Ramadhan tahun ini...
syukur kehadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur dah disihatkan tubuh untuk terus beribadat...

Selamat Datang ya Ramadhan...
datangmu dengan limpahan rahmat,
kepada kami hamba yang menanti...

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa buat semua...




Salam Seni...


.

Thursday, July 19, 2012

Pulangku Bukan Kerana Kegagalan

Tiada yang lebih menggembirakan hati mak dan abah,
tiada yang lebih menyenangkan mata mereka,
kecuali anak yang diperantauan pulang,
berada di hadapan mata mereka yang memandang...

Kepulangan hamba kali ini tetap seperti sedia kala,
pulang untuk mengutip bekal ketenangan,
demi meneruskan perjuangan...


Salam Seni...





.

Wednesday, July 18, 2012

PERNAH BAYANG ITU KELAM




Pernah kau muncul dalam mentari,
kau hangatkan hari ku yang dingin,
dalam gigil,
aku kau dekati tanpa sangsi,
agar sisa masa itu tidak basi,
walaupun hilang sang mentari.

Pernah kau ukir senyum di sini,
di tempat aku berdiri,
tanpa aku pasti,
kau ucap kata janji,
persahabatan sampai kemati,
hingga aku pergi,
mengukir janji dihati.

Pernah kau rajuk diri,
pernah kau tawar hati,
dari sikap aku yang begini,
memujukmu aku tidak reti,
menggenggam tanganmu tidak sama sekali,
apatah lagi menyapu air mata dipipi.

Pernah aku tersenyum sendiri,
lihat gelagatmu yang ada lembutnya,
yang mengajar aku tentang sesuatu,
persahabatan itu memang sampai kemati,
kerana aku tidak akan menjaga hati sendiri.

Pernah aku mengundur diri,
kini aku berundur lagi,
memberikan kau ruang dan masa,
walau aku pasti,
bayang itu kian kelam,
kau tidak akan pulang...


Sunday, July 15, 2012

Cerpen; MENDUNG SANG PELANGI


MENDUNG SANG PELANGI


Hadirnya Afiqah satu ketika dulu di awal perkenalan mereka, membuatkan Saiful mengukir senyum di bibir suramnya. Sebuah perkenalan yang dirasakannya begitu bermakna kerana hadirnya gadis tersebut umpama memberi harapan bahawa dia tidak lagi kan kesunyian.
Saiful, seorang remaja lelaki yang begitu lembut santunnya, tinggi hemahnya, besar sabarnya. Melalui liku sebagai seorang remaja lelaki yang tidak mengenal erti cinta sebenar. Percayakan kata-kata 'bersendiri itu lebih baik' membuatkan Saiful hilang rasa untuk berkasih sayang seperti remaja lain.
"Assalamualaikum, harap saya tak mengganggu awak. Sekadar ingin bertegur sapa." Teguran penuh berani dari lelaki yang tidak pernah yakin untuk memulakan sebuah perkenalan secara berdepan.
"Waalaikumsalam, tak ada la. Mana ada ganggu. Saya pun bosan tengok diorang buat kerja ni. Kerja saya dah habis." Balasan yang diberikan oleh Afiqah membuatkan Saiful yakin untuk mendekatinya.
Kepenatan mereka umpama hilang apabila perkenalan di sebuah dewan itu membenihkan persahabatan antara mereka. Perkenalan yang tidak dirancang itu berlaku dengan izinNya semasa mereka sedang membuat persiapan sebuah majlis di kolej mereka.
"Nama saya Saiful. Awak?"
"Nama saya Afiqah, panggil Fiqa je."
"Terima kasih sebab sudi menyambut salam persahabatan saya."
"Sama-sama. Tak ada orang cemburu ke nanti ni?"
"Saya tak memberikan hak untuk orang cemburu terhadap saya. Tapi risau kalau-kalau ada orang cemburu dengan Fiqa nanti."
"Dalam maksudnya tu. Tak memberi hak ek? Saya pula, belum ada yang layak mengambil hak itu selepas si dia yang terakhir dulu. Lagipun Fiqa lebih selesa mencari sahabat. Lebih dari tu, kurang minat."
"Ya ke? Bagus la. Bagi saya pun, sahabat tu sampai bila-bila." Perbualan singkat yang memberi banyak kepastian untuk sebuah perkenalan yang masih berusia begitu muda.
Perpisahan seketika mendatang apabila mereka pulang setelah selesai segala kerja persiapan majlis itu.

"Selamat pagi Fiqa"
"Selamat pagi Saiful" Sejuk rasanya hati muda Saiful bila mendapat ucapan selamat pagi yang telah lama tidak diterima dari seorang wanita.
Tapi hatinya sedikit berbisik, "Kenapa aku yang menyapa dia dulu? Tak adakah wanita yang ingin memulakan sesuatu dengan aku?" Krisis dalaman dirinya cuba diatasi dengan memotivasikan diri.
"Lelaki itu sifatnya memimpin. Mungkin sudah menjadi tanggungjawab aku untuk mengalah sedikit dengan ego aku."
Mereka bersarapan bersama-sama sebelum memulakan kerja-kerja membuat persiapan terakhir bagi majlis tengah hari nanti. Sedang mereka leka berborak sambil menikmati sarapan, ada mata yang memerhatikan.
Dari jauh kedengaran seseorang bersuara dengan lantang. "Untung orang tu makan dengan teman istimewa pagi ni."
Kawan-kawan serumah Saiful menyakat mereka berdua yang sedang duduk bersama. Mereka tak pernah melihat Saiful makan bersama dengan seorang gadis kecuali rakan sekelas dan rakan dalam mana-mana projek.
"Saiful, saya lebih senang untuk berkawan. Saya dah terangkan semalam kan?"
"Diorang menyakat je tu. Jangan la ambik serius sangat."
"Saya tahu sangat perangai lelaki. Pantang rapat sikit, beri harapan." Keluh Fiqa yang tidak senang dengan gurauan kawan-kawan Saiful tadi.
Saiful cuba menerangkan dengan sebaik mungkin. Namun Fiqa tetap menafikan. Bagi Fiqa, susah lagi untuk mempercayai lelaki.

Semalam, sewaktu di rumah, Saiful menjelaskan kepada kawan-kawannya bahawa dia sedikit gembia dengan kehadiran Fiqa dalam dewan itu tadi. Baginya, Fiqa begitu istimewa kerana sudi menyambut salam perkenalannya dalam masa yang singkat dan Saiful begitu senang dengan cara Fiqa yang lembut, peramah dan sentiasa tersenyum walaupun kepenatan. Namun telah Saiful tegaskan, dia hanya selesa untuk berkawan dengan Fiqa kerana menghormati pendiriannya untuk tidak lebih dari itu.
Kawan-kawannya tahu tentang derita yang telah dilalui oleh Saiful sehinggakan dia tidak lagi yakin dengan cinta hari ini. Lantas membuatkan kawan-kawan serumahnya ingin cuba bersuara bagi pihak Saiful agar kedua-dua hati mereka lembut dan membawa perkenalan tersebut ke bab seterusnya.

Di dewan, Fiqa masih lagi memberontak dengan gurauan tersebut. dia tidak boleh menerima gurauan yang menyentuh tentang hati. Dia sudah tegaskan kepada Saiful semalam bahawa dia hanya terbuka untuk bersahabat. Tetapi Saiful seolah-olah menyatakan tentang hal lain kepada kawan-kawannya.
Saiful cuba bersikap matang. Menjelaskan dengan sebaik mungkin. Hati wanita tetap lembut, kalau kena dengan gaya sentuhannya. Fiqa menerima penjelasan Saiful dan memberinya peluang kedua tetapi mengharapkan supaya Saiful menjaga hatinya.
Saiful hilang arah sedikit demi sedikit kerana terpaksa memilih untuk menjaga hati Fiqa atau kawan-kawannya. Majlis berlangsung dengan jayanya namun hati Saiful masih lagi gundah untuk menjaga persahabatannya.
Selesai majlis, mereka berehat untuk minum petang.
"Saiful, jom kita pergi minum petang. Dengar kata ada Horlicks panas. My favourite." Fia menjemput dengan penuh bersungguh.
"Awak pergi dulu, nanti saya sampai. Ambilkan saya segelas air, letak di meja awak ya." Saiful menghabiskan kerjanya dahulu.

Saiful hadir ke ruang makan dengan kawan-kawannya dalam keadaan agak riuh sedikit. Saiful menghala ke meja di mana Fiqa sedang menantinya.
"Saiful, takkan dah ada awek, tak nak ajak duduk lepak dengan kitorang." Seorang kawan membuka bicara sinis.
Fiqa memandang Saiful dengan ketajaman umpama mata pisau menjenguk kematanya. Saiful tersentak dengan gurauan kawannya dan ditambah pula dengan pandangan tepat dari Fiqa yang memberi ribuan kegusaran di hatinya.
Saiful tidak tahu untuk dia berada bersama Fiqa atau kawan-kawannya. Dia mendekati meja Fiqa dengan penuh resah.
"Fiqa, jom kita minum sekali dengan diorang." Jemput Saiful dengan niat untuk menjaga hati kedua-dua pihak.
Fiqa terdiam dan hanya memandang Saiful dengan penuh kemarahan. Terdetik di hati Saiful untuk menjaga persahabatan mereka. Tetapi kenapa dugaan yang datang adalah apabila dia umpama bertemu dengan sang pelangi yang bakal menceriakan harinya. Namun sayangnya, lumrah sang pelangi, hadirnya seketika. Lebih memilukan, apabila pelangi yang muncul, bersama mendung.
"Saya tak suka cara mereka. Awak pergilah kepada mereka. Tinggalkan saya di sini. Saya tak suka orang yang tak reti menghormati pendirian orang lain. Awak tak faham saya, awak tak mampu menjadi sahabat saya. Saya tak tahu apa yang awak mahukan dari perkenalan kita. Saya tak tahu apa yang awak ceritakan pada mereka. Awak pergilah pada mereka." Fiqa menjelaskan segala yang membuatkan dia tidak senang dengan perkenalan mereka. Dia mengharapkan Saiful faham dengan situasi persahabatan mereka.
Namun bagi Fiqa, Saiful tidak mengerti dengan apa yang Fiqa mahukan iaitu sebuah persahabatan.
Saiful cuba menjernihkan keadaan namun tidak mampu menolak ombak yang menghempas pantai. Dia hanya mempu membenarkan badai itu menghempas pantai.
"Saya sayangkan persahabatan kita. Fiqa jangan salah sangka. Diorang hanya bergurau. Tiada lagi erti cinta dalam hati saya. Cukuplah kalau ada seorang wanita yang bergelar sahabat dalam hidup saya. Walaupun sementara."
Fiqa memberikan jawapan dengan penuh kepastian.
"Buatlah pilihan Saiful. Awak nak jaga hati mereka atau hati saya."


-TAMAT-

Karya: Sarjan yO

Thursday, May 10, 2012

Kembali Lagi....

Dah lama xupdate blog sendiri..
bukan niat mendiamkan diri
cuma banyak perkara yg dipendam sendiri..

tidak pernah ada niat berdendam...

lama aku menanti hati untuk dimiliki,
namun ketakuutan sebelum ni terus jadi realiti,
si peneman datang hanya sementara...

dulu, ini kisah besar...
kini, dah tak kisah...

ya, relakan cinta pergi,
itu lebih mulia...

selamat kembali Sarjan yO yang dulu...
selamat tinggal seketika kisah kasih hati...

insyaAllah, akan cuba menghias nukilan-nukilan baru...
bukan kerana peminat (sbb xde peminat),
tp demi diri sendiri...

ini cara aku,
blog ni jalan aku...

izinkan aku lalu,
untuk ke destinasi yang ingin ku tuju...


Salam Seni...


.

Sunday, April 01, 2012

Akan Datang: cerita tentang...

...dia seorang gadis yg masih muda.mahukan kebebasan utk mencari erti kehidupan..aku sekadar ingin mengambil berat tentangnya,tapi aku perlu beri dia ruang...ya,aku perlu faham...semoga jalan yg dia pilih tidak mengotorkan dirinya, seorang gadis yg masih suci....

- nantikan dalam - cerpen akan datang...

Thursday, March 29, 2012

Cerpen; KEMBALIKAN SENYUM ITU

KEMBALIKAN SENYUM ITU

Cinta itu pelengkap sebuah kehidupan. Bukan kewajipan untuk dikejar, bukan pula mainan untuk ditinggallkan. Syikin, seorang gadis berumur 24 tahun, masih belajar dalam jurusan komunikasi di sebuah IPTA di ibu kota. Gadis berkulit putih dan berlesung pipit ini bakal menamatkan pengajiannya diperingkat Ijazah Sarjana Muda tidak lama lagi kerana telah berada di semester akhir.

“Cinta. Siapa yang tidak mahu memiliki cinta dik. Setiap orang teringin untuk berkasih sayang bukan? Tapi hati-hati dik. Cinta itu satu ujian. Jika pandai mengawalnya, adik akan bahagia. Jika tidak, adik akan merana.” Luahan Syikin didengari oleh pihak ketiga dengan penuh tanda tanya.

Syikin adalah seorang wanita yang bersikap aktif dan periang semasa di awal usia pengajiannya di IPTA setelah menamatkan tingkatan 6 dengan kejayaan dalam STPM. Kerana sifat cerianya itu, membawa Syikin menjadi tarikan di universiti apabila ramai lelaki yang cuba mendekatinya. Mempunyai tubuh yang tinggi dan badan yang berisi padat satu ketika dulu, menyebabkan sesiapa sahaja akan memandangnya jika dia berjalan atau duduk di suatu. Dia juga seorang wanita yang mencari erti cinta dalam hidupnya satu ketika dulu.

“Akak ingatkan adik-adik kerana akak tak mahu satu hari nanti adik salahkan cinta bila adik dah tak mampu lagi mengecap nikmat bahagia. Jangan pernah kita salahkan cinta, kerana kita yang merancang segala segalanya.” Pesan Syikin lagi kepada adik-adik yang merupakan pelajar semester satu yang mengikuti slot muhasabah diri dalam program orientasi universiti.

Seorang pelajar bertanya, “Apa maksud akak yang jangan salahkan cinta bila tak lagi bahagia? Boleh akak ceritakan contoh situasi untuk kami faham maksud tu?”

Syikin tersenyum dan membalas dengan nada penuh kasih sayang seorang kakak, “Boleh. Akak ceritakan kisahnya ya.”

Dengan penuh persoalan di hati, patut atau tidak dia menceritakan situasi untuk membenarkan mereka itu mengerti tentang kehidupan yang abadi. Syikin menjelaskan lagi tentang beberapa perkara dalam kehidupan sebagai seorang remaja.

“Sebelum akak mula bercerita, akak nak adik-adik pejam mata,lapangkan minda dan hati. Dengarkan kata-kata ini.”

Syikin memberi masa seketika untuk mereka bersedia.

“Dalam hidup kita, tuhan akan sentiasa memberikan kita dua perkara iaitu nikmat dan ujian. Tapi ingatlah, jangan kita lalai bila dikurniakan nikmat dan jangan pula kita mengeluh bila diturunkan ujian. Ujian itu tidak datang hanya sekali, tapi datang bila kita mula alpa kerana tuhan ingin kita sedar. Kemudian diturunkan pula nikmat bagi mengubati kesakitan mengahadapi ujian.”

Syikin meneruskan kata-katanya dengan memulakan kisah tentang persoalan pelajar baru itu tadi.

“Andaikan diri kalian seorang wanita. Setiap wanita itu dilahirkan sebagai pelengkap hidup lelaki. Seseorang yang juga merupakan pelajar universiti, telah berhijrah ke ibu kota sebegini dengan niat ingin melanjutkan pelajaran. Dia, wanita yang cukup sempurna dimata setiap lelaki.”

“Dia juga seperti kalian, masih muda dalam memahami erti kehidupan. Cinta, dirasakan baginya amat penting untuk menjadi motivasi dalam melayari kehidupan sebagai pelajar yang jauh dari mata ibu dan bapa. Mengaitkan kisah hidupnya dengan pesanan akak tadi, dia mula mengenali seorang lelaki yang dirasakan baginya cukup istimewa.”

Syikin terdiam seketika. Kelihatan seperti memikirkan sesuatu. Dia kemudiannya menyambung kembali penceritaan.

“Ya, lelaki yang istimewa dimatanya tapi dihati belum cukup mengenali. Mereka mula couple atas dasar sayang dan mencintai antara satu sama lain. Wanita tersebut menaruhkan sepenuh kepercayaan terhadap lelaki yang dirasakannya mampu menjadi imam memimpin dirinya ke jalan yang benar. Mereka meneruskan hidup dengan penuh bahagia umpama tiada pegangan agama. Wanita itu mulai lalai dan hanyut dalam kenikmatan percintaan.”

Tiba-tiba air jernih menitis dihujung mata Syikin. Dia menyapu dengan jarinya agar tiada pelajar-pelajar baru itu yang melihatnya.

“Nikmat yang akhirnya membuatkan mereka berzina. Mereka tidak sedar akan dosa besar yang telah mereka lakukan. Bagi mereka, itulah bahagia tanpa penghujung. Sehinggalah satu hari, hadir seorang sahabat yang menasihati wanita tersebut. Sahabatnya itu, seorang wanita yang memahami dirinya. Dia mula sedar akan kesilapan yang telah dia lakukan.”

“Nikmat kecantikan yang tuhan berikan, telah membuat dia alpa dan menyerahkan maruahnya kepada seorang lelaki yang salah. Dia tewas dalam ujian yang tuhan turunkan kerana dia memilih untuk meneruskan nikmat dunia. Kemudian dia diuji dengan dosa besar yang diturunkan untuk mengingatkan dia tentang kesilapan hidupnya.”

Nada suara Syikin mula sebak. Datang seorang lelaki yang mendengar nafasnya yang semakin sebak dan memegang bahunya, memberi kekuatan agar Syikin meneruskan penceritaannya agar pelajar-pelajar baru itu faham akan erti kehidupan.

Syikin memandang lelaki tersebut yang bersusuk tubuh agak tinggi dan tegap. Wajahnya kelihatan cukup matang, terlihat parut-parut jerawat dipipinya yang menjadi lambang kelelakiannya. Dia kemudian meneruskan kisah tersebut dengan ditemani lelaki tersebut.

“Hari-hari yang dilalui oleh wanita tersebut adalah hari-hari yang penuh dengan penyesalan. Dia mula menyalahkan cinta yang telah membuatkan hidupnya gelap. Sentiasa ditemani oleh sahabat wanitanya itu, dia kembali bersemangat setelah dapat melupakan titik hitam dalam hidupnya itu.”

“Sahabatnya sentiasa bercakap tentang kisah motivasi, mengingatkan dia tentang tujuan utama mereka datang ke university adalah mencari ilmu bagi memastikan cita-cita mampu dicapai pada masa hadapan nanti.”

Syikin kembali tersenyum. Mungkinkah lelaki yang sedang menemaninya itu juga seorang sahabat yang memahami seperti dalam ceritanya tadi. Bezanya, dalam cerita itu, sahabat wanita itu adalah wanita, disebelahnya adalah lelaki.

“Setelah dia menghabiskan satu semester bersama sahabatnya itu, tuhan sekali lagi menurunkan ujian terhadapnya. Dia mula menyayangi sahabatnya seperti seorang kekasih. Namun sahabatnya adalah wanita. Dia memilih cinta songsang kerana mungkin baginya, wanita lebih memahami wanita. Sekali lagi dia mula lalai dalam nikmat tuhan. Tuhan kurniakan dia seorang sahabat untuk membimbingnya, bukan menambah dosa dalam hidupnya.”

Sekali lagi mata Syikin bergenang dengan air jernih yang belum menitis. Lelaki itu terus memegang tangan Syikin dan menggenggam sebagai tanda memberi kekuatan untuk Syikin meneruskan cerita.

“Alhamdulillah, nasib baik sahabatnya itu adalah seorang wanita yang tebal imannya dan kuat pegangan agamanya. Sahabatnya tidak kalah dalam godaan nafsu muda, sebaliknya terus berusaha menyedarkan wanita tersebut tentang nikmat yang tuhan berikan untuknya.”

“Dia mula sedar, dia merasakan yang dirinya tidak lagi berguna. Dia telah kehilangan maruahnya kerana seorang lelaki yang dicintainya. Pudar pula imannya kerana mula mencintai seorang insan yang sama jantina dengannya. Dia mula menyalahkan takdir, dia membenci dirinya sendiri. Sahabatnya yang masih setia, terus memberi motivasi dan semangat agar wanita itu tidak kalah dalam percaturan dunia ini.”

Syikin terdiam lagi seketika. Dia memandang wajah lelaki tersebut dengan penuh persoalan. Haruskah dia meneruskan kisah ini. Lelaki tersebut hanya tersenyum dan mengangguk kecil tanda memberi semangat.

“Setelah wanita tersebut hampir mengalah dalam hidup atas apa yang terjadi padanya, keputusan akademik semakin menurun, prestasi akademik semakin teruk, kemurungan mula melanda dirinya. Sahabatnya yang masih setia memberi semangat itu akhirnya memperkenalkan wanita tersebut kepada seorang lelaki dari batch mereka juga.”

“Wanita tersebut mengenali lelaki tersebut, tetapi selama ini dia tidak pernah mempedulikannya kerana dia hanyut dalam nikmat dunia bersama lelaki pilihannya. Lelaki yang tidak dipedulikannya dulu itu seorang yang gemuk, diwajahnya penuh dengan jerawat seperti tidak ambil kisah tentang kebersihan wajah dan juga raut wajah seperti orang tua, tidak jambu seperti lelaki idamannya.”

“Namun kini, lelaki tersebut telah banyak berubah, menjadi seorang yang tegap dan diwajahnya hanya tinggal parut-parut kecil bekas kesan jerawat dulu yang menjadikannya kelihatan matang. Lelaki ini hadir bagi memberinya semangat untuk meneruskan hidup.”

“Sahabat wanitanya itu terpaksa menjauhkan diri untuk menghilangkan rasa cinta wanita tersebut terhadapnya. Dia memperkenalkan lelaki tersebut dengan harapan wanita tersebut akan benar-benar sedar kerana dia tiada hati dengan lelaki tersebut. Jadi, mana mungkin mereka akan ke lembah zina seperti dulu, insyaAllah.”

“Wanita tersebut mula melalui hari-harinya dengan ditemani sahabat lelakinya itu sebagai pendorong dan pembakar semangatnya. Mereka begitu akrab tetapi tidak pernah melanggar batas-batas agama.”

“Dengan izin tuhan, prestasi akademik dia semakin meningkat, keputusan peperiksaan kembali cemerlang. Dengan izin tuhan juga, pintu hatinya terbuka untuk membenarkan sahabat itu bertakhta dihatinya. Ya, sahabat yang dianggap sebagai Mr. Right baginya. Mereka memilih untuk hidup bersama dengan cara yang halal. Lelaki itu, pemilik ilmu ikhlas, melamar wanita yang sudah hilang maruahnya dulu untuk dijadikan isterinya yang sah.”

Air mata yang di ketika tadi bergenang, mula menitis perlahan. Seperti ada sesuatu yang dirasakan oleh Syikin dalam hatinya. Lelaki yang menemaninya itu duduk mendekatkan wajahnya dihadapan wajah Syikin, lantas menyapu air mata yang membasahi pipi licin Syikin dengan jari yang kelihatan ada kesan warna merah yang pudar.

“Akhirnya mereka berdua menjadi suami isteri semasa cuti semester sebelum memulakan semester akhir mereka sebagai pelajar universiti di ibu kota ini.”

Syikin menamatkan cerita dengan kesudahan yang bahagia setelah wanita tersebut menempuh pelbagai degaan.

“Baiklah, adik-adik boleh buka mata sekarang. Ingatlah adik-adik,akak mahu adik-adik semua menjadi kuat dan tabah. Kuatkan iman di hati. Seperti wanita tadi, dia dikurniakan nikmat dan diturunkan ujian silih brganti bagi menguji imannya.”

“Dia tidak boleh menyalahkan cinta yang membawa dirinya kearah dosa besar, kerana itu adalah pilihan hatinya yang berajakan nafsu. Dia pernah gagal, tetapi tuhan merancang yang terbaik untuk kita.”

“Tuhan memberi ujian sehingga meragut maruahnya, tetapi tuhan mengurniakan nikmat kehadiran seorang lelaki sebagai suami yang boleh menerima segala kesilapannya dulu. Itulah adalah cinta yang sebenar dari seorang lelaki yang benar-benar istimewa”

Syikin menjelaskan tentang erti ujian dan nikmat dalam hidup, juga tentang mengapa mereka tidak boleh menyalahkan cinta bila hati mula berbicara.

Pelajar-pelajar baru mengangguk tanda faham sambil masing-masing menyapu air mata yang menitis di wajah mereka.

Syikin meneruskan bicara sebagai penutup kepada slot tersebut,

”Semoga adik-adik berjaya dalam akademik dan juga berjaya menjadi seorang khalifah dimuka bumi ini. Lepas ni, yang lelaki boleh salam dengan abang ni, dialah Mr. Right akak. Suami tercinta akak yang boleh menerima segala kesilapan akak dulu dan mencintai segala kekurangan akak hari ini dengan penuh keikhlasan.”

Syikin tersenyum memandang lelaki tadi yang kembali berdiri di sebelahnya dan memeluk bahunya. Lelaki tersebut tunduk dan mencium dahi Syikin dengan penuh kasih sayang.


TAMAT


Karya: Sarjan yO

Saturday, January 14, 2012

Jangan Izinkan Aku Jatuh Cinta Andai Masanya Belum Tiba

Ya Allah,
Andai masanya belum tiba,
Jangan izinkan aku untuk jatuh cinta,
Aku memohon agar Kau tunjukkan jalan,
Agar Kau tunjukkan aku tuntutun yang perlu aku lakukan,
Jauhkanlah aku daripada kemaksiatan,
Jauhkanlah aku daripada perkara yang tidak dapat memberi manfaat,
Dan jauhkan aku daripada perkara yang Engkau murkai,
Agar aku dapat menjaga diri.


Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu,
Jadikanlah aku yang mencintainya kerana agama yang ada padanya,
Jika dia hilangkan agama yang ada dalam dirinya,
Maka hilanglah cintaku padanya,
Sesungguhnya, cinta yang suci itu tidak buta.

Ya Allah,
Dan jika dia mencintai aku,
Biarkanlah dia mencintai aku kerana agama itu juga,
Asalkan dia tidak lebihkan cinta kepadaku melebihi cinta kepadaMu,
Supaya cinta itu bersemi di lembayung keredhaan-Mu,
Kerna dari situ lahirlah rahmah dan mawaddah dalam rumahtangga.


Ya Allah,
Jika ini bukan masanya,
Jika ini belum saatnya,
Dan jika Kau tahu kami belum bersedia,
Selamatkan kami,
Jarakkan kami,
Pisahkan kami,
Agar kami jauh dari khilaf yang merosak izzah dan iffah,
Agar kami tak mengundang murka-MU,
Agar kami dapat lebih menjaga hati,
Agar hati menjadi yang diredhai ilahi.


Ya Allah,
Andai dia bukan untuk ku,
Andai dia bukan jodohku,
Maka berilah ganti yang lebih baik buatnya,
Berikanlah dia insan yang benar benar terbaik buat kehidupannya,
Insan yang benar-benar mampu memimpinnya ke syurga-Mu,
Dan bantulah aku untuk memperbaiki diriku,
Agar aku kukuh dalam mencari cinta-Mu.

Amin...

(tentang aku diketika ini, hanya hati ini yang mengerti tentang segala yang terjadi)

# iluvislam.com #

Thursday, January 12, 2012

Semoga Bahagia Itu Miliknya...

Teruskan langkah mu...
tinggalkan aku di sini...
tiada apa yang aku ada untuk kau...
pandang ke depan
teruskan melangkah...

biarkan aku di sini,
menahan bahaya yang ingin menerkam kau
dari belakang..
teruskan langkahmu,
dihadapan sana ada ruang untukmu..
detik kebahagiaan mu...

aku ingin kau terus brjalan,
bkn kerana aku benci..
tapi kerana aku ingin kau fahami,
ada sesuatu yang perlu kau isi dihati..
benda tu tak ada disini,
kau perlu terus mencari...

tabahkan hati,
cekalkan diri...
dihadapan sana,
ada satu bahagia,
milikmu selamanya...



Salam Seni...


.