KEMBALIKAN SENYUM ITU
“Cinta. Siapa yang tidak mahu memiliki cinta dik. Setiap orang teringin untuk berkasih sayang bukan? Tapi hati-hati dik. Cinta itu satu ujian. Jika pandai mengawalnya, adik akan bahagia. Jika tidak, adik akan merana.” Luahan Syikin didengari oleh pihak ketiga dengan penuh tanda tanya.
Syikin adalah seorang wanita yang bersikap aktif dan periang semasa di awal usia pengajiannya di IPTA setelah menamatkan tingkatan 6 dengan kejayaan dalam STPM. Kerana sifat cerianya itu, membawa Syikin menjadi tarikan di universiti apabila ramai lelaki yang cuba mendekatinya. Mempunyai tubuh yang tinggi dan badan yang berisi padat satu ketika dulu, menyebabkan sesiapa sahaja akan memandangnya jika dia berjalan atau duduk di suatu. Dia juga seorang wanita yang mencari erti cinta dalam hidupnya satu ketika dulu.
“Akak ingatkan adik-adik kerana akak tak mahu satu hari nanti adik salahkan cinta bila adik dah tak mampu lagi mengecap nikmat bahagia. Jangan pernah kita salahkan cinta, kerana kita yang merancang segala segalanya.” Pesan Syikin lagi kepada adik-adik yang merupakan pelajar semester satu yang mengikuti slot muhasabah diri dalam program orientasi universiti.
Seorang pelajar bertanya, “Apa maksud akak yang jangan salahkan cinta bila tak lagi bahagia? Boleh akak ceritakan contoh situasi untuk kami faham maksud tu?”
Syikin tersenyum dan membalas dengan nada penuh kasih sayang seorang kakak, “Boleh. Akak ceritakan kisahnya ya.”
Dengan penuh persoalan di hati, patut atau tidak dia menceritakan situasi untuk membenarkan mereka itu mengerti tentang kehidupan yang abadi. Syikin menjelaskan lagi tentang beberapa perkara dalam kehidupan sebagai seorang remaja.
“Sebelum akak mula bercerita, akak nak adik-adik pejam mata,lapangkan minda dan hati. Dengarkan kata-kata ini.”
Syikin memberi masa seketika untuk mereka bersedia.
“Dalam hidup kita, tuhan akan sentiasa memberikan kita dua perkara iaitu nikmat dan ujian. Tapi ingatlah, jangan kita lalai bila dikurniakan nikmat dan jangan pula kita mengeluh bila diturunkan ujian. Ujian itu tidak datang hanya sekali, tapi datang bila kita mula alpa kerana tuhan ingin kita sedar. Kemudian diturunkan pula nikmat bagi mengubati kesakitan mengahadapi ujian.”
Syikin meneruskan kata-katanya dengan memulakan kisah tentang persoalan pelajar baru itu tadi.
“Andaikan diri kalian seorang wanita. Setiap wanita itu dilahirkan sebagai pelengkap hidup lelaki. Seseorang yang juga merupakan pelajar universiti, telah berhijrah ke ibu kota sebegini dengan niat ingin melanjutkan pelajaran. Dia, wanita yang cukup sempurna dimata setiap lelaki.”
“Dia juga seperti kalian, masih muda dalam memahami erti kehidupan. Cinta, dirasakan baginya amat penting untuk menjadi motivasi dalam melayari kehidupan sebagai pelajar yang jauh dari mata ibu dan bapa. Mengaitkan kisah hidupnya dengan pesanan akak tadi, dia mula mengenali seorang lelaki yang dirasakan baginya cukup istimewa.”
Syikin terdiam seketika. Kelihatan seperti memikirkan sesuatu. Dia kemudiannya menyambung kembali penceritaan.
“Ya, lelaki yang istimewa dimatanya tapi dihati belum cukup mengenali. Mereka mula couple atas dasar sayang dan mencintai antara satu sama lain. Wanita tersebut menaruhkan sepenuh kepercayaan terhadap lelaki yang dirasakannya mampu menjadi imam memimpin dirinya ke jalan yang benar. Mereka meneruskan hidup dengan penuh bahagia umpama tiada pegangan agama. Wanita itu mulai lalai dan hanyut dalam kenikmatan percintaan.”
Tiba-tiba air jernih menitis dihujung mata Syikin. Dia menyapu dengan jarinya agar tiada pelajar-pelajar baru itu yang melihatnya.
“Nikmat yang akhirnya membuatkan mereka berzina. Mereka tidak sedar akan dosa besar yang telah mereka lakukan. Bagi mereka, itulah bahagia tanpa penghujung. Sehinggalah satu hari, hadir seorang sahabat yang menasihati wanita tersebut. Sahabatnya itu, seorang wanita yang memahami dirinya. Dia mula sedar akan kesilapan yang telah dia lakukan.”
“Nikmat kecantikan yang tuhan berikan, telah membuat dia alpa dan menyerahkan maruahnya kepada seorang lelaki yang salah. Dia tewas dalam ujian yang tuhan turunkan kerana dia memilih untuk meneruskan nikmat dunia. Kemudian dia diuji dengan dosa besar yang diturunkan untuk mengingatkan dia tentang kesilapan hidupnya.”
Nada suara Syikin mula sebak. Datang seorang lelaki yang mendengar nafasnya yang semakin sebak dan memegang bahunya, memberi kekuatan agar Syikin meneruskan penceritaannya agar pelajar-pelajar baru itu faham akan erti kehidupan.
Syikin memandang lelaki tersebut yang bersusuk tubuh agak tinggi dan tegap. Wajahnya kelihatan cukup matang, terlihat parut-parut jerawat dipipinya yang menjadi lambang kelelakiannya. Dia kemudian meneruskan kisah tersebut dengan ditemani lelaki tersebut.
“Hari-hari yang dilalui oleh wanita tersebut adalah hari-hari yang penuh dengan penyesalan. Dia mula menyalahkan cinta yang telah membuatkan hidupnya gelap. Sentiasa ditemani oleh sahabat wanitanya itu, dia kembali bersemangat setelah dapat melupakan titik hitam dalam hidupnya itu.”
“Sahabatnya sentiasa bercakap tentang kisah motivasi, mengingatkan dia tentang tujuan utama mereka datang ke university adalah mencari ilmu bagi memastikan cita-cita mampu dicapai pada masa hadapan nanti.”
Syikin kembali tersenyum. Mungkinkah lelaki yang sedang menemaninya itu juga seorang sahabat yang memahami seperti dalam ceritanya tadi. Bezanya, dalam cerita itu, sahabat wanita itu adalah wanita, disebelahnya adalah lelaki.
“Setelah dia menghabiskan satu semester bersama sahabatnya itu, tuhan sekali lagi menurunkan ujian terhadapnya. Dia mula menyayangi sahabatnya seperti seorang kekasih. Namun sahabatnya adalah wanita. Dia memilih cinta songsang kerana mungkin baginya, wanita lebih memahami wanita. Sekali lagi dia mula lalai dalam nikmat tuhan. Tuhan kurniakan dia seorang sahabat untuk membimbingnya, bukan menambah dosa dalam hidupnya.”
Sekali lagi mata Syikin bergenang dengan air jernih yang belum menitis. Lelaki itu terus memegang tangan Syikin dan menggenggam sebagai tanda memberi kekuatan untuk Syikin meneruskan cerita.
“Alhamdulillah, nasib baik sahabatnya itu adalah seorang wanita yang tebal imannya dan kuat pegangan agamanya. Sahabatnya tidak kalah dalam godaan nafsu muda, sebaliknya terus berusaha menyedarkan wanita tersebut tentang nikmat yang tuhan berikan untuknya.”
“Dia mula sedar, dia merasakan yang dirinya tidak lagi berguna. Dia telah kehilangan maruahnya kerana seorang lelaki yang dicintainya. Pudar pula imannya kerana mula mencintai seorang insan yang sama jantina dengannya. Dia mula menyalahkan takdir, dia membenci dirinya sendiri. Sahabatnya yang masih setia, terus memberi motivasi dan semangat agar wanita itu tidak kalah dalam percaturan dunia ini.”
Syikin terdiam lagi seketika. Dia memandang wajah lelaki tersebut dengan penuh persoalan. Haruskah dia meneruskan kisah ini. Lelaki tersebut hanya tersenyum dan mengangguk kecil tanda memberi semangat.
“Setelah wanita tersebut hampir mengalah dalam hidup atas apa yang terjadi padanya, keputusan akademik semakin menurun, prestasi akademik semakin teruk, kemurungan mula melanda dirinya. Sahabatnya yang masih setia memberi semangat itu akhirnya memperkenalkan wanita tersebut kepada seorang lelaki dari batch mereka juga.”
“Wanita tersebut mengenali lelaki tersebut, tetapi selama ini dia tidak pernah mempedulikannya kerana dia hanyut dalam nikmat dunia bersama lelaki pilihannya. Lelaki yang tidak dipedulikannya dulu itu seorang yang gemuk, diwajahnya penuh dengan jerawat seperti tidak ambil kisah tentang kebersihan wajah dan juga raut wajah seperti orang tua, tidak jambu seperti lelaki idamannya.”
“Namun kini, lelaki tersebut telah banyak berubah, menjadi seorang yang tegap dan diwajahnya hanya tinggal parut-parut kecil bekas kesan jerawat dulu yang menjadikannya kelihatan matang. Lelaki ini hadir bagi memberinya semangat untuk meneruskan hidup.”
“Sahabat wanitanya itu terpaksa menjauhkan diri untuk menghilangkan rasa cinta wanita tersebut terhadapnya. Dia memperkenalkan lelaki tersebut dengan harapan wanita tersebut akan benar-benar sedar kerana dia tiada hati dengan lelaki tersebut. Jadi, mana mungkin mereka akan ke lembah zina seperti dulu, insyaAllah.”
“Wanita tersebut mula melalui hari-harinya dengan ditemani sahabat lelakinya itu sebagai pendorong dan pembakar semangatnya. Mereka begitu akrab tetapi tidak pernah melanggar batas-batas agama.”
“Dengan izin tuhan, prestasi akademik dia semakin meningkat, keputusan peperiksaan kembali cemerlang. Dengan izin tuhan juga, pintu hatinya terbuka untuk membenarkan sahabat itu bertakhta dihatinya. Ya, sahabat yang dianggap sebagai Mr. Right baginya. Mereka memilih untuk hidup bersama dengan cara yang halal. Lelaki itu, pemilik ilmu ikhlas, melamar wanita yang sudah hilang maruahnya dulu untuk dijadikan isterinya yang sah.”
Air mata yang di ketika tadi bergenang, mula menitis perlahan. Seperti ada sesuatu yang dirasakan oleh Syikin dalam hatinya. Lelaki yang menemaninya itu duduk mendekatkan wajahnya dihadapan wajah Syikin, lantas menyapu air mata yang membasahi pipi licin Syikin dengan jari yang kelihatan ada kesan warna merah yang pudar.
“Akhirnya mereka berdua menjadi suami isteri semasa cuti semester sebelum memulakan semester akhir mereka sebagai pelajar universiti di ibu kota ini.”
Syikin menamatkan cerita dengan kesudahan yang bahagia setelah wanita tersebut menempuh pelbagai degaan.
“Baiklah, adik-adik boleh buka mata sekarang. Ingatlah adik-adik,akak mahu adik-adik semua menjadi kuat dan tabah. Kuatkan iman di hati. Seperti wanita tadi, dia dikurniakan nikmat dan diturunkan ujian silih brganti bagi menguji imannya.”
“Dia tidak boleh menyalahkan cinta yang membawa dirinya kearah dosa besar, kerana itu adalah pilihan hatinya yang berajakan nafsu. Dia pernah gagal, tetapi tuhan merancang yang terbaik untuk kita.”
“Tuhan memberi ujian sehingga meragut maruahnya, tetapi tuhan mengurniakan nikmat kehadiran seorang lelaki sebagai suami yang boleh menerima segala kesilapannya dulu. Itulah adalah cinta yang sebenar dari seorang lelaki yang benar-benar istimewa”
Syikin menjelaskan tentang erti ujian dan nikmat dalam hidup, juga tentang mengapa mereka tidak boleh menyalahkan cinta bila hati mula berbicara.
Pelajar-pelajar baru mengangguk tanda faham sambil masing-masing menyapu air mata yang menitis di wajah mereka.
Syikin meneruskan bicara sebagai penutup kepada slot tersebut,
”Semoga adik-adik berjaya dalam akademik dan juga berjaya menjadi seorang khalifah dimuka bumi ini. Lepas ni, yang lelaki boleh salam dengan abang ni, dialah Mr. Right akak. Suami tercinta akak yang boleh menerima segala kesilapan akak dulu dan mencintai segala kekurangan akak hari ini dengan penuh keikhlasan.”
Syikin tersenyum memandang lelaki tadi yang kembali berdiri di sebelahnya dan memeluk bahunya. Lelaki tersebut tunduk dan mencium dahi Syikin dengan penuh kasih sayang.
TAMAT
Karya: Sarjan yO