Thursday, July 26, 2012

Dunia Ramadhan

Kali ini kau masih datang,
sebagai suatu kewajipan,
kepada seluruh alam,
demi sebuah keimanan,
hati insan milik Tuhan.

Kau masih datang lagi,
dengan tugasan yang yang diamanahkan,
untuk mendekati seluruh umat,
menyuluh jalan yang gelap,
meluaskan jalan yang sempit.

Kau terus datang,
mengusung jutaan keberkatan,
untuk diberikan kepada sekalian umat,
yang mencari redha sang pencipta,
demi memiliki kunci ke syurga...

Tapi mereka,
menyambutmu ya Ramadhan,
dengan kisah dunia,
dengan isi manusia,
dengan segala alpa,
dengan iman biasa,
dengan mengejar nikmat dunia.

Mereka kian lalai,
dengan rahmatmu ya Ramadhan,
jasad tetap bernafsu,
walau syaitan telah dibelenggu,
ibadat tetap lupa,
walau pintu syurga seluasnya dibuka,
semoga kita bukan bersama mereka,
yang mengejar dunia,
kerana kita khalifah,
mencari bekal akhirat dalam Ramadhan,
bukan nikmat dunia dalam Ramadhan...



Salam Seni...


.

Friday, July 20, 2012

Salam Ramadhan...

Alhamdulillah, sempat lagi hamba bertemu dengan Ramadhan tahun ini...
syukur kehadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur dah disihatkan tubuh untuk terus beribadat...

Selamat Datang ya Ramadhan...
datangmu dengan limpahan rahmat,
kepada kami hamba yang menanti...

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa buat semua...




Salam Seni...


.

Thursday, July 19, 2012

Pulangku Bukan Kerana Kegagalan

Tiada yang lebih menggembirakan hati mak dan abah,
tiada yang lebih menyenangkan mata mereka,
kecuali anak yang diperantauan pulang,
berada di hadapan mata mereka yang memandang...

Kepulangan hamba kali ini tetap seperti sedia kala,
pulang untuk mengutip bekal ketenangan,
demi meneruskan perjuangan...


Salam Seni...





.

Wednesday, July 18, 2012

PERNAH BAYANG ITU KELAM




Pernah kau muncul dalam mentari,
kau hangatkan hari ku yang dingin,
dalam gigil,
aku kau dekati tanpa sangsi,
agar sisa masa itu tidak basi,
walaupun hilang sang mentari.

Pernah kau ukir senyum di sini,
di tempat aku berdiri,
tanpa aku pasti,
kau ucap kata janji,
persahabatan sampai kemati,
hingga aku pergi,
mengukir janji dihati.

Pernah kau rajuk diri,
pernah kau tawar hati,
dari sikap aku yang begini,
memujukmu aku tidak reti,
menggenggam tanganmu tidak sama sekali,
apatah lagi menyapu air mata dipipi.

Pernah aku tersenyum sendiri,
lihat gelagatmu yang ada lembutnya,
yang mengajar aku tentang sesuatu,
persahabatan itu memang sampai kemati,
kerana aku tidak akan menjaga hati sendiri.

Pernah aku mengundur diri,
kini aku berundur lagi,
memberikan kau ruang dan masa,
walau aku pasti,
bayang itu kian kelam,
kau tidak akan pulang...


Sunday, July 15, 2012

Cerpen; MENDUNG SANG PELANGI


MENDUNG SANG PELANGI


Hadirnya Afiqah satu ketika dulu di awal perkenalan mereka, membuatkan Saiful mengukir senyum di bibir suramnya. Sebuah perkenalan yang dirasakannya begitu bermakna kerana hadirnya gadis tersebut umpama memberi harapan bahawa dia tidak lagi kan kesunyian.
Saiful, seorang remaja lelaki yang begitu lembut santunnya, tinggi hemahnya, besar sabarnya. Melalui liku sebagai seorang remaja lelaki yang tidak mengenal erti cinta sebenar. Percayakan kata-kata 'bersendiri itu lebih baik' membuatkan Saiful hilang rasa untuk berkasih sayang seperti remaja lain.
"Assalamualaikum, harap saya tak mengganggu awak. Sekadar ingin bertegur sapa." Teguran penuh berani dari lelaki yang tidak pernah yakin untuk memulakan sebuah perkenalan secara berdepan.
"Waalaikumsalam, tak ada la. Mana ada ganggu. Saya pun bosan tengok diorang buat kerja ni. Kerja saya dah habis." Balasan yang diberikan oleh Afiqah membuatkan Saiful yakin untuk mendekatinya.
Kepenatan mereka umpama hilang apabila perkenalan di sebuah dewan itu membenihkan persahabatan antara mereka. Perkenalan yang tidak dirancang itu berlaku dengan izinNya semasa mereka sedang membuat persiapan sebuah majlis di kolej mereka.
"Nama saya Saiful. Awak?"
"Nama saya Afiqah, panggil Fiqa je."
"Terima kasih sebab sudi menyambut salam persahabatan saya."
"Sama-sama. Tak ada orang cemburu ke nanti ni?"
"Saya tak memberikan hak untuk orang cemburu terhadap saya. Tapi risau kalau-kalau ada orang cemburu dengan Fiqa nanti."
"Dalam maksudnya tu. Tak memberi hak ek? Saya pula, belum ada yang layak mengambil hak itu selepas si dia yang terakhir dulu. Lagipun Fiqa lebih selesa mencari sahabat. Lebih dari tu, kurang minat."
"Ya ke? Bagus la. Bagi saya pun, sahabat tu sampai bila-bila." Perbualan singkat yang memberi banyak kepastian untuk sebuah perkenalan yang masih berusia begitu muda.
Perpisahan seketika mendatang apabila mereka pulang setelah selesai segala kerja persiapan majlis itu.

"Selamat pagi Fiqa"
"Selamat pagi Saiful" Sejuk rasanya hati muda Saiful bila mendapat ucapan selamat pagi yang telah lama tidak diterima dari seorang wanita.
Tapi hatinya sedikit berbisik, "Kenapa aku yang menyapa dia dulu? Tak adakah wanita yang ingin memulakan sesuatu dengan aku?" Krisis dalaman dirinya cuba diatasi dengan memotivasikan diri.
"Lelaki itu sifatnya memimpin. Mungkin sudah menjadi tanggungjawab aku untuk mengalah sedikit dengan ego aku."
Mereka bersarapan bersama-sama sebelum memulakan kerja-kerja membuat persiapan terakhir bagi majlis tengah hari nanti. Sedang mereka leka berborak sambil menikmati sarapan, ada mata yang memerhatikan.
Dari jauh kedengaran seseorang bersuara dengan lantang. "Untung orang tu makan dengan teman istimewa pagi ni."
Kawan-kawan serumah Saiful menyakat mereka berdua yang sedang duduk bersama. Mereka tak pernah melihat Saiful makan bersama dengan seorang gadis kecuali rakan sekelas dan rakan dalam mana-mana projek.
"Saiful, saya lebih senang untuk berkawan. Saya dah terangkan semalam kan?"
"Diorang menyakat je tu. Jangan la ambik serius sangat."
"Saya tahu sangat perangai lelaki. Pantang rapat sikit, beri harapan." Keluh Fiqa yang tidak senang dengan gurauan kawan-kawan Saiful tadi.
Saiful cuba menerangkan dengan sebaik mungkin. Namun Fiqa tetap menafikan. Bagi Fiqa, susah lagi untuk mempercayai lelaki.

Semalam, sewaktu di rumah, Saiful menjelaskan kepada kawan-kawannya bahawa dia sedikit gembia dengan kehadiran Fiqa dalam dewan itu tadi. Baginya, Fiqa begitu istimewa kerana sudi menyambut salam perkenalannya dalam masa yang singkat dan Saiful begitu senang dengan cara Fiqa yang lembut, peramah dan sentiasa tersenyum walaupun kepenatan. Namun telah Saiful tegaskan, dia hanya selesa untuk berkawan dengan Fiqa kerana menghormati pendiriannya untuk tidak lebih dari itu.
Kawan-kawannya tahu tentang derita yang telah dilalui oleh Saiful sehinggakan dia tidak lagi yakin dengan cinta hari ini. Lantas membuatkan kawan-kawan serumahnya ingin cuba bersuara bagi pihak Saiful agar kedua-dua hati mereka lembut dan membawa perkenalan tersebut ke bab seterusnya.

Di dewan, Fiqa masih lagi memberontak dengan gurauan tersebut. dia tidak boleh menerima gurauan yang menyentuh tentang hati. Dia sudah tegaskan kepada Saiful semalam bahawa dia hanya terbuka untuk bersahabat. Tetapi Saiful seolah-olah menyatakan tentang hal lain kepada kawan-kawannya.
Saiful cuba bersikap matang. Menjelaskan dengan sebaik mungkin. Hati wanita tetap lembut, kalau kena dengan gaya sentuhannya. Fiqa menerima penjelasan Saiful dan memberinya peluang kedua tetapi mengharapkan supaya Saiful menjaga hatinya.
Saiful hilang arah sedikit demi sedikit kerana terpaksa memilih untuk menjaga hati Fiqa atau kawan-kawannya. Majlis berlangsung dengan jayanya namun hati Saiful masih lagi gundah untuk menjaga persahabatannya.
Selesai majlis, mereka berehat untuk minum petang.
"Saiful, jom kita pergi minum petang. Dengar kata ada Horlicks panas. My favourite." Fia menjemput dengan penuh bersungguh.
"Awak pergi dulu, nanti saya sampai. Ambilkan saya segelas air, letak di meja awak ya." Saiful menghabiskan kerjanya dahulu.

Saiful hadir ke ruang makan dengan kawan-kawannya dalam keadaan agak riuh sedikit. Saiful menghala ke meja di mana Fiqa sedang menantinya.
"Saiful, takkan dah ada awek, tak nak ajak duduk lepak dengan kitorang." Seorang kawan membuka bicara sinis.
Fiqa memandang Saiful dengan ketajaman umpama mata pisau menjenguk kematanya. Saiful tersentak dengan gurauan kawannya dan ditambah pula dengan pandangan tepat dari Fiqa yang memberi ribuan kegusaran di hatinya.
Saiful tidak tahu untuk dia berada bersama Fiqa atau kawan-kawannya. Dia mendekati meja Fiqa dengan penuh resah.
"Fiqa, jom kita minum sekali dengan diorang." Jemput Saiful dengan niat untuk menjaga hati kedua-dua pihak.
Fiqa terdiam dan hanya memandang Saiful dengan penuh kemarahan. Terdetik di hati Saiful untuk menjaga persahabatan mereka. Tetapi kenapa dugaan yang datang adalah apabila dia umpama bertemu dengan sang pelangi yang bakal menceriakan harinya. Namun sayangnya, lumrah sang pelangi, hadirnya seketika. Lebih memilukan, apabila pelangi yang muncul, bersama mendung.
"Saya tak suka cara mereka. Awak pergilah kepada mereka. Tinggalkan saya di sini. Saya tak suka orang yang tak reti menghormati pendirian orang lain. Awak tak faham saya, awak tak mampu menjadi sahabat saya. Saya tak tahu apa yang awak mahukan dari perkenalan kita. Saya tak tahu apa yang awak ceritakan pada mereka. Awak pergilah pada mereka." Fiqa menjelaskan segala yang membuatkan dia tidak senang dengan perkenalan mereka. Dia mengharapkan Saiful faham dengan situasi persahabatan mereka.
Namun bagi Fiqa, Saiful tidak mengerti dengan apa yang Fiqa mahukan iaitu sebuah persahabatan.
Saiful cuba menjernihkan keadaan namun tidak mampu menolak ombak yang menghempas pantai. Dia hanya mempu membenarkan badai itu menghempas pantai.
"Saya sayangkan persahabatan kita. Fiqa jangan salah sangka. Diorang hanya bergurau. Tiada lagi erti cinta dalam hati saya. Cukuplah kalau ada seorang wanita yang bergelar sahabat dalam hidup saya. Walaupun sementara."
Fiqa memberikan jawapan dengan penuh kepastian.
"Buatlah pilihan Saiful. Awak nak jaga hati mereka atau hati saya."


-TAMAT-

Karya: Sarjan yO